Salam,
Pesanan Luqmanul Hakim kepada anak-anaknye..Semoga kita juga bole meninggalkan pesanan ini kepada anak-anak kita
1- Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya
dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya.
Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN
yang bernama TAQWA, isinya ialah IMAN dan layarnya adalah TAWAKKAL KEPADA
ALLAH.
2- Orang-orang yang sentiasa
menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat
penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang
lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.
3- Hai anakku, orang yang merasa
dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia
tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha
menghindarkan maksiat kepada Allah.
4- Hai anakku, seandainya ibubapamu
marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu
adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
5- Jauhkan dirimu dari berhutang,
kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang
dan gelisah di waktu malam.
6- Selalulah berharap kepada Allah
tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak derhaka pada Allah. Takutlah pada
Allah dengan sebenar-benar takut (Taqwa), tentulah engkau akan terlepas dari
sifat berputus asa dari rahmat Allah.
7- Hai anakku, seorang pendusta akan
lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah
rosak akhlaknya akan sentiasa melamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi
pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
8- Hai anakku, engkau telah merasakan
betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi lebih
berat lagi dari semua itu bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang
jahat.
9- Hai anakku, janganlah engkau
mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang
cerdik, sebaiknya dirimu saja yang layak menjadi utusan.
10- Jauhilah bersifat dusta, kerana
berdusta itu mudah untuk dilakukan, bagaikan memakan daging burung padahal sedikit
sahaja berdusta itu memberikan akibat yang berbahaya.
11- Hai anakku, apabila engkau mempunyi
dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, maka pilihlah
untuk menziarahi orang yang mati kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung
akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanyalah mengingatkanmu kepada
kesenangan duniawi sahaja.
12- Janganlah engkau makan sampai
kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu
lebih baiknya bila diberikan kepada anjing sahaja.
13- Hai anakku, janganlah engkau terus
menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah terus memuntahkan saja
pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan
pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
14- Makanlah makananmu bersama-sama
dengan orang yang bertaqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim
ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
15- Hai anakku, bukanlah satu kebaikaan
namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah
mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu
api,walaupun sudah banyak dan rasa tak mampu untuk dipikul tapi ia masih mahu menambahnya.
16- Hai anakku, bilamana engkau mahu
mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat
dia marah. Apabila dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,
maka bolehlah engkau mengambilnya sebagai kawan. Bila tidak demikian maka
berhati-hatilah.
17- Sentiasalah bertuturkata yang baik,
halus budibahasa serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang
melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang
berharga.
18- Hai anakku, bila engkau berteman,
tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu
daripadanya. Namun biarlah dia yang mengharapkan sesuatu daripadamu.
19- Jadikanlah dirimu sebagai orang
yang tidak ingin menerima pujian dalam setiap tingkah lakumu atau mengharap
sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riak yang akan mendatangkan cela
pada dirimu.
20- Hai anakku, janganlah engkau
condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia sahaja
kerana engkau diciptakan Allah bukan untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada
makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
21- Hai anakku, berusahalah untuk tidak
mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan
lebih selamat jika berdiam diri. Jika berbicara, usahakanlah agar bicaramu
mendatangkan manfaat pada orang lain.
22- Hai anakku, janganlah engkau mudah
ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang melucukan, janganlah engkau berjalan
tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna
bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.
23- Barangsiapa yang penyayang tentu
akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata sesuatu yang
beracun dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu
akan menyesal.
24- Hai anakku, bergaullah dengan orang
yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya
sejuklah hati mendengarkan nasihatnya, hidupkanlah hati dengan cahaya hikmah
dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
25- Hai anakku, ambillah harta dunia
sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan
akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah
kerana nanti engkau akan jadi pengemis yang bisa membebankan orang lain.
Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana
sesungguhnya apa yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah
engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak nanti akan
membinasakan dirimu.
[Nota Kaki:Anak itu amanah dari Allah~~]